Update Terbaru PERTANIAN REZEKI.. Pada Article Hari Ini Penulis Akan Memberi Anda Cerita Yang Amat Menarik Hari Ini . Jadi Mari Kita Mula Membaca.
TANAH GAMBUT (Peat Soil) merupakan sejenis tanah berasaskan bahan organik yang termendap dan selalunya berwarna coklat tua (Sila lihat foto diatas). Tanah gambut juga dikategorikan sebagai tanah marginal atau tanah yang bermasalah sama dengan tanah bermasaalah lain seperti Tanah Asid Sulfat, Tanah Bris dan sebagainya. Dianggarkan terdapat 2.43 juta hektar kawasan gambut dinegara kita dimana sebanyak 8% daripada jumlah keseluruhan keluasan tanah di Malaysia. Negeri Sarawak merupakan negeri yang mempunyai tanah gambut terluas iaitu 1.59 juta hektar. Tanah gambut biasanya terdapat di kawasan lembah atau paya yang terendam dan terletak di antara dataran tanah pantai dengan kawasan tanah bukit dan juga di antara bukit. Kebanyakan tanah gambut memang mempunyai permukaan yang rata dan landai. Pemetaan dan pengelasan tanah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak berbeza daripada segi metodologi, definisi dan klasifikasi. Nama siri tanah  gambut di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah yang dibuat oleh Jabatan Pertanian berbeza-beza mengikut kaedah klasifikasi tanah yang diterima diperingkat antarabangsa. Tanah gambut yang lembut, berair, mudah terbakar dan tinggi kandungan bahan organik sering menjadikan tanah ini sukar untuk diuruskan. Keadaan ini menyukarkan proses perpindahan agro-teknologi berkaitan tanah gambut di antara ketiga-tiga kawasan tersebut. Menyedari masalah ini maka ada beberapa pihak termasuk Jabatan Pertanian, MPOB, LPNM, FELDA, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri-negeri dan juga pihak swasta perlu membuat analisa tanah gambut sebelum sebarang aktiviti pertanian ini dilakukan dengan lebih sistematik. Sebagai contoh juga pihak MPOB  dengan kerjasama pakar siasatan tanah daripada agensi kerajaan  oleh terutama Jabatan Pertanian dan syarikat swasta telah membangunkan sistem pengelasan seragam untuk tanah gambut yang boleh diguna pakai dalam kerja pengelasan tanah gambut di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Mereka akan menggunakan sistem ini bagi mengkelaskan tanah gambut seterusnya memberikan syor untuk tanah tersebut sesuai dijadikan tanah pertanian untuk penghasilan bahan makanan. Artikel malam ini dari Hotel Marriot Putrajaya saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pengkelasan tanah gambut untuk bahan bacaan dan rujukkan.

Tanah gambut terbentuk daripada pereputan bahan organik seperti daun, ranting dan kayu yang berlaku secara perlahan. Kandungan bahan organik dalam tanah gambut biasanya melebihi 65% daripada jumlah berat tanah dengan ketebalan lapisan organik melebihi 50 cm. Kedalaman tanah gambut berbeza mengikut kawasan dan kebiasaannya, tanah gambut berhampiran dengan pinggir bukit lebih cetek berbanding di bahagian tengah kawasan. Tanah gambut biasanya terbentuk di bahagian atas permukaan dasar lempung atau tanah pasir. Terdapat lima jenis bahan organik tanah yang biasanya membentuk tanah gambut bergantung kepada asal-usul dan kadar pereputan bahan organik, selain daripada bahan kayu (diameter lebih 2 cm) iaitu: i) Lumut - biasanya ditemui di kawasan tanah tinggi di kawasan tropika. ii) Fiber atau gentian - kepingan tisu tumbuhan dalam bahan organik tanah (tidak termasuk akar hidup). iii) Bahan fibrik. iv) Bahan hemik. v) Bahan saprik. Berdasarkan kepada tahap kedalaman tanah gambut maka ia telah dikelaskan daripada tiga kepada empat kumpulan baru iaitu jenis  (i) Gambut cetek 50 - 100 cm, (ii) Gambut sederhana dalam 100 - 150 cm (iii) Gambut dalam 150 - 300 cm dan juga (iv) Gambut sangat dalam > 300 cm. Gambar diatas sekali juga menunjukkan kawasan tanah gambut yang sedang disediakan untuk ditanam dengan sawit. Pengkelasan tanah gambut untuk siri Penor. Secara kimianya, tanah gambut bersifat masam (pH>3.5). Terdapat juga tanah gambut yang mengandungi lapisan sulfurik di bawah permukaan tanah. Secara semula jadi, tanah gambut mempunyai status kandungan nutrien makro (N, P, K dan Mg) dan mikro (Cu, Zn, dan B) yang rendah. Dari segi fizikal pula, kebiasaannya paras air di kawasan tanah gambut adalah tinggi. Ini boleh mengehadkan proses pereputan bahan organik kerana kurang pengudaraan dan boleh memberi kesan buruk terhadap pertumbuhan pokok.

Kepadatan tanah gambut rendah kerana sifat keronggaannya yang tinggi. Keadaan ini boleh menyebabkan pokok condong dan seterusnya tumbang kerana akar tidak dapat memegang tanah dengan kuat. Batang kayu yang biasanya terdapat di kawasan tanah gambut sama ada di permukaan atau terbenam akan menimbulkan masalah dalam kerja pembangunan dan pengurusan tanah gambut. Dengan adanya sistem pengelasan tanah gambut yang seragam di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan dapat memudahkan dan meningkatkan keberkesanan kerja dalam siasatan tanah gambut, proses pemindahan agro-teknologi, pengurusan dan pemuliharaan tanah gambut di ketiga-tiga wilayah tersebut. Tanah gambut dikategorikan sebagai tanah yang bermasalah (marginal soil) yang selalunya ditemui di sepanjang kawasan pedalaman yang rendah dekat dengan kawasan pantai dan mengandungi saliran yang tidak baik. Antara limitasi yang menjejaskan kejayaan penanaman sawit adalah kepadatan pukal tanah rendah, keronggaan tanah berlebihan dan juga kepada susutan atau kecutan tanah yang selalunya tinggi pada peringkat awal pembangunan atau pembersihan kawasan penanaman menyebabkan pokok sawit tumbang mengakibatkan banyak bahagian akar terbongkas dan terdedah ke udara serta menjadi rosak. Tanah gambut biasanya mempunyai paras air yang tinggi (selalu dalam keadaan tenggelam), pH rendah (Lebih dari 3.5), kadar C/N tinggi serta rendah tahap kesuburan terutama nutrien K dan P dan nutrien mikro dan pengikatan unsur atau zat pemakanan dalam baja oleh asid organan dalam gambut seperti asid karboksilik, phenolik dan asid amino lain dan juga keupayaan penampanan tanah tinggi.

Bagi kawasan tanah gambut yang hendak dijalankan penanaman semula maka boleh dilaksanakan menggunakan berbagai teknik. Teknik-teknik tersebut adalah seperti berikut dengan cara (a) Teknik pembakaran Yang Sempurna dimana pokok sawit tua perlu ditumbangkan beserta akar dan pangkal batang dikorek, dikumpul dan dibakar (b) Teknik pembakaran separa dimana pokok sawit tua yang mati diracun, ditebang dan disusun di lorong tanaman untuk pembakaran, bahagian yang tidak terbakar dijadikan bahan sungkupan benih sawit yang ditanam. (c) Teknik pembakaran sifar iaitu cara mesra alam dan telah berjaya dilaksanakan dari segi teknikal dan ekonomi. (d)  Teknik tanam bawahan - anak sawit ditanam antara barisan pokok lama diikuti dengan penjarangan pokok lama dalam jangka masa 12- 24 bulan selepas anak benih ditanam. Walaupun banyak teknik boleh digunakan dalam penanaman semula sawit di tanah gambut, faktor-faktor berikut perlu diambil kira dalam pemilihan tersebut iaitu dengan cara tumbesaran pokok sawit di kawasan dimana pembakaran sifar adalah sama atau lebih baik daripada di kawasan pembersihan sempurna. Dilaporkan bahawa di kawasan pembakaran sifar, pengeluaran BTS adalah lebih tinggi walaupun tidak signifikan berbanding di kawasan pembersihan sempurna. Status nutrien daun dalam kawasan pembakaran sifar lebih baik (terutamanya P dan K) daripada kawasan pembersihan sempurna. Kedua dengan cara  pembakaran boleh mengakibatkan berlakunya kebakaran tanah gambut yang tidak terkawal. Pembakaran biojisim pokok sawit juga mengakibatkan kehilangan yang tinggi terhadap bahan organik, nitrogen dan sulfur yang sepatutnya boleh ditambahkan ke tanah selain kehilangan bahan sungkupan dan humus kepada tanah. Ketiga dengan cara pengurusan biojisim pokok sawit secara pembakaran adalah tidak dibenarkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan Akta Alam Sekitar iaitu kawalan Udara Bersih Tahun 1978. Keempat iaitu teknik tanam bawahan meningkatkan serangan kumbang badak dan penyakit Ganoderma (penyakit RPB) serta prestasi hasil rendah terutama apabila penjarangan dan kaedah pemusnahan pokok tua tidak dijalankan dengan sempurna seperti disyorkan. Kelima dimana dikawasan populasi kumbang badak amat tinggi, pembersihan sempurna dan pembakaran separa adalah lebih diutamakan dan yang Ke Enam bagi mengawal dan mencegah penyakit RPB dari menyerang pokok sawit, kaedah sanitasi inovatif adalah disyorkan kerana ia berkesan dalam mengurangkan serangan penyakit Reput Perdu Batang (RPB). 

Penulis blog juga merujuk kepada laporan kajian MPOB pada tahun 2001 lagi dimana mereka telah memperkenalkan teknik pengurusan biojisim inovatif semasa penanaman semula sawit. Dalam teknik ini langkah-langkah berikut perlu dipraktikkan iaitu pokok tua ditumbang dan dicincang dengan menggunakan jentolak 120 HP yang dipasang dengan chipping bucket. Kemudian batang dan pelepah diracik 5-10 sm tebal dan pada sudut 45- 60 darjah supaya ianya reput dengan cepat manakala pangkal batang sawit tua perlu dikorek dan lubangnya dikambus semula. Semua biojisim pokok sawit dilonggokkan di sepanjang lorong antara barisan pokok tidak melebihi 2 meter tinggi dan tepi longgokan sekurang-kurangnya 1 meter dari lubang tanaman dengan had longgokan sepanjang 30 meter. Adalah disyorkan semua biojisim yang telah diracik diselerakkan rata 3 - 4 m lebar di barisan tanaman. Teknik ini didapati dapat mempertingkatkan pertumbuhan pokok, mengurangkan keperluan pembajaan sehingga 50% bagi tempoh lima tahun pertama, sebagai bahan sungkupan yang dapat memulihara kelembapan tanah serta mengurangkan masalah rumpai di samping mengurangkan kos penanaman semula. Dalam ladang gambut sistem parit ladang yang cekap dan berkesan membolehkan paras air ladang dikawal pada paras 70 - 90 sm dari permukaan tanah bagi berikan pertumbuhan dan penghasilan pokok yang maksima di samping mengurangkan masalah susutan Sistem saliran juga berfungsi mengawal paras air supaya tidak terlalu tinggi bagi mengelakkan keadaan air bertakung di ladang. Air bertakung tidak sesuai untuk perkembangan pokok sawit, menjejaskan penghasilannya serta menyulitkan urusan ladang. Pembinaan pintu air adalah penting dan bilangannya adalah satu unit bagi setiap 40-50 hektar dan dibina secara kekal menggunakan konkrit atau bahan lain yang dapat berfungsi mengawal air di ladang mengikut paras yang ditentukan. Semasa penanaman semula, parit ladang lama yang diperlukan hendaklah digali semula manakala yang tidak diperlukan dikambus.

Ladang sawit ditanah gambut perlukan sistem jalanladang yang baik untuk pengurusan tanaman. Sistem jalan ladang perlu dirancang dan dibina mengikut justifikasi dan spesifikasi yang betul bagi mengelakkan kesulitan operasi ladang dan peningkatan kos penyelenggaraan ladang. Rangkaian jalan ladang dibina selari dengan rangkaian sistem parit dengan jarak kedudukan antara jalan dan parit ialah 2 hingga 4 meter. Rekabentuk bagi JALAN UTAMA mestilah selari dengan parit utama dengan ukuran lebarnya 4.5 - 5.5 meter dan intensiti ialah 10-15 meter/ hektar. Sementara itu JALAN LADANG adalah selari dengan parit pengumpul dan ukuran lebarnya 3.5 - 4.0 meter dan intensiti ialah 45-50 meter/ hektar. Kepadatan Tanaman atau jarak tanaman sawit bergantung kepada tahap kedalaman lapisan gambut. Kepadatan tanaman yang tinggi iaitu sehinggga 200 pokok/hektar adalah disyorkan bagi kawasan yang berisiko tanggi serangan penyakit Reput Pangkal Batang (RPB). Teknik Penanaman berbeza dimana bagi gambut cetek dan sederhana yang dipadatkan - teknik penanaman lubang dalam lubang dengan saiz 1.0 x 1.0 x 0.3 meter bagi lubang besar dan 03 x 0.3 x 0.3 meter bagi lubang kecil. Bagi tanah gambut dalam dan sederhana yang tidak dimampatkan iaitu teknik penanaman lubang biasa. Satu lagi adalah teknik penanaman lubang condong sehala adalah disyorkan di tanah gambut dalam. Kaedah ini dapat mengurangkan kehilangan hasil BTS kesan kejadian pokok condong atau tumbang selain tidak menjejas lorong laluan dalam ladang. Penyediaan Lorong Tuai perlu disediakan dimana jika paras air tanah dan kepadatan pukal tanah rendah menyukarkan pelaksanaan sistem mekanisasi operasi ladang. Penyediaan lorong tuai dengan menambak bahagian tengah lorong tuai menggunakan tanah gambut membolehkan sistem mekanisasi ladang dijalankan termasuk semasa kerja menanam. 

Kemudian kawasan tanaman ini memerlukan tanaman Kacang Penutup Bumi. Hasil dari kajian MPOB mendapati tanaman kacang penutup bumi Mucuna bracteata adalah sangat sesuai ditanam di tanah gambut berbanding tanaman penutup bumi yang lain. Keistimewaan kekacang jenis ini ialah ianya ada tahan lindungan, kemarau, penyakit dan perosak di samping kadar pertumbuhan cepat. Sebagai penutup penulis blog dapati penanaman sawit di kawasan tanah gambut memang akan terus berkembang melibatkan pihak swasta dan juga pekebun-pekebun kecil kerana telah mendapat pulangan yang memuaskan. Program penyelidikan (R n D) untuk membaiki sifat-sifat tanah gambut terus dijalankan agar hasil BTS dapat ditingkatkan setanding dengan penghasilan di tanah mineral. Pengurusan air ladang yang cekap dan effisen, amalan menanam dan agronomi yang betul dan penyediaan pemakanan kepada sawit dengan kadar yang mencukupi dan seimbang adalah merupakan kriteria utama menentukan kesesuaian sesuatu kawasan tanah gambut untuk dimajukan dengan penanaman sawit dan harus diberi perhatian. Semoga garis panduan ini dapat membantu pegawai pelaksana di lapangan dalam mengurus didalam penanaman sawit di tanah gambut oleh pekebun kecil agar mendapat pulangan yang optimum walaupun memang wujud kekangan-kekangan seperti keperluan mekanisasi operasi ladang, pokok condong dan tumbang, perosak dan penyakit tanaman terus merupakan cabaran yang perlu ditangani dengan bijak. semuga artikel dalam anim agro technology ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!!!...
TANAH GAMBUT... LUAS DI MALAYSIA...
PERLU DIBANGUNKAN...TINGGI KOSNYA...
NANAS DAN SAWIT... PALING SESUAI DIA...
BACA ARTIKEL... ILMU DIKONGSI SAMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 547, Hotel Mariott,
Putrajaya, WP,
Malaysia.
(9 Muharram 1440H).
Bagaimana Menarikkan Article Pada Hari Ini . PERTANIAN REZEKI.Jangan Lupa Datang Lagi Untuk Membaca Article Yang lebih Menarik Pada Masa Akan Datang/

Catat Ulasan

 
Top